Home Berita Wabak makin merebak, jutaan penduduk China dihalang keluar

Wabak makin merebak, jutaan penduduk China dihalang keluar

24
Orang ramai melintasi Stesen Keretapi Hankou selepas bandar ditutup ekoran wabak coronavirus di Wuhan, 23 Januari 2020.

BEIJING — Jutaan penduduk China dihalang keluar, pengangkutan awam dihentikan di lapan bandar sebagai langkah kuarantin selepas angka kematian wabak coronavirus meningkat kepada 25 mangsa.

Jumlah kuarantin itu melibatkan 26 juta penduduk, malah sambutan perayaan Tahun Baru Cina turut dibatalkan bagi menghalang wabak terus merebak, lapor AFP.

Virus daripada Wuhan mengorbankan lapan lagi nyawa, menurut status terkini kerajaan China, menjadikan keseluruhan 830 kes.

Virus baru itu menyebabkan tanda-tanda seakan SARS (Sindrom Pernafasan Akut Teruk) yang mengakibatkan kematian beratus-ratus penduduk China dan Hong Kong pada 2002 hingga 2003.

Memandangkan ratusan juta orang mengembara seluruh negara sempena cuti perayaan minggu ini, semua perjalanan ke luar bandar disekat, pengangkutan awam tergendala, dan penduduk diarah tidak keluar rumah.

Hanya beberapa penerbangan sahaja dibenarkan masuk Wuhan, menyebabkan bandar itu terasing dari dunia.

Langkah itu menyebabkan bandar yang didiami 11 juta penduduk seakan menjadi bandar berhantu, apabila jalan-jalan dan pusat membeli-belah menjadi lengang, dan kedai ditutup pada waktu yang sepatutnya penuh dengan orang ramai sakan berbelanja untuk meraikan perayaan.

Selain Wuhan, bandar kecil lain turut terjejas.

Di Huangshi yang memiliki populasi lebih dua juta penduduk, hari ini mengumumkan penghentian operasi pengangkutan awam dan menutup jambatan utama.

Semalam, Huanggang dengan 7.5 juta penduduk, mengumumkan khidmat pengangkutan awam dan keretapi dihentikan serta tidak membenarkan penduduk keluar kota.

Kerajaan China turut menawarkan pulangan semula wang kepada orang ramai yang telah menempah tiket pengangkutan udara, air, dan darat.

Beijing membatalkan himpunan besar-besaran yang biasanya menarik minat orang ramai ke kuil semasa Tahun Baru, manakala Kota Larangan ditutup bermula esok.

Penyebaran wabak disyaki berpunca daripada pasar makanan laut dan haiwan di Wuhan pada hujung Disember. Sejak itu ia tular di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat.