bskl-2015-12-22

Bursa Malaysia membuat lantunan daripada kejatuhan sebelum ini untuk dibuka lebih tinggi pagi ini dengan aktiviti belian baharu berikutan pelabur mengambil kesempatan ke atas harga saham yang lebih rendah, kata peniaga.

Pada jam 9.10 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 2.89 mata kepada 1,631.98, selepas dibuka 5.52 mata lebih tinggi pada 1,634.34.

Persekitaran pasaran positif dengan kenaikan mengatasi kerugian sebanyak 181 berbanding 71, dengan 145 kaunter lagi tidak berubah, 1,360 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung urus niaga.

Perolehan berada pada 155.64 juta saham bernilai RM59.43 juta.

Kenanga Research berkata, jualan lanjut oleh pelabur pasca kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS), selain kejatuhan harga minyak mentah global, memberi kesan kepada bursa tempatan.

“Dengan kita berhadapan minggu dagangan pendek, disebabkan sambutan Krismas, kita terus menjangka FBM KLCI berkemampuan diniagakan sederhana dengan kecenderungan menurun ke arah 1,600 mata minggu ini,” katanya dalam satu nota.

Dalam kalangan saham mewah, Maybank menambah tiga sen kepada RM8.24, Public Bank menokok 10 sen kepada RM18.34, Petronas Chemicals menambah satu sen kepada RM6.95, manakala TNB jatuh enam sen kepada RM12.94.

Antara saham aktif, SMTrack menokok setengah sen kepada 12.5 sen, Emico tidak berubah pada 41 sen, manakala The Media Shoppe dan APFT susut setengah sen setiap satu kepada masing-masing kepada 8.5 sen dan 28 sen.

Pada papan skor, Indeks FBM EMAS menokok 23.66 mata kepada 11,430.17, FBMT100 menambah 24.64 mata kepada 11,105.33 dan FBM EMAS Shariah menokok 15.40 mata kepada 12,344.45.

FBM ACE menokok 18.79 mata kepada 6,328.84 dan FBM 70 naik 46.86 mata kepada 12,879.12.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan naik 39.55 mata kepada 13,934.90, Indeks Perindustrian susut 4.42 mata kepada 3,149.26. Indeks Perladangan, bagaimanapun, menokok 0.06 mata kepada 7,352.72.

Join the Conversation

11 Comments

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *